MULANYA saya cuba bersangka baik dengan apa yang
menimpa seorang guru mualaf di SJKC Nan Ya, Kota Tinggi, Johor, atas
nama dakwah. Tetapi setelah lama mengikuti isu ini, ditambah oleh sebuah
syarikat pembinaan yang menghalau artis bertudung dalam majlisnya,
menjadikan saya jadi geram.
Mana tidaknya, lembaga sekolah tersebut telah memaksa guru mualaf untuk
membuka tudungnya dan diancam keselamatannya jika tidak berbuat
demikian.
Sedihnya, apabila guru tersebut melaporkan kepada pihak berkuasa, beliau ditukarkan serta-merta ke sekolah lain.
Peliknya, tiada tindakan tegas dikenakan terhadap kepimpinan SJKC
tersebut. Mana keberanian kita? Mana dia pemimpin yang memperjuangkan
Islam dan hak asasi manusia ini? Kejam sungguh kita semua. Kena pada
orang Islam, tak apa. Kena pada bukan Islam, heboh 1Malaysia.
Saya ingatkan orang bukan Islam telah insaf dan memahami perkara asas
mengenai Islam. Maklumlah sudah lama tinggal di tanah air tercinta ini.
Paling kurang memahami kedudukan Islam selaku agama negara. Rupa-rupanya
tidak.
Apabila ada desakan mahukan tindakan disiplin diambil terhadap ahli
lembaga sekolah tersebut, maka kita pun berkata ini isu kecil dan hanya
permainan politik untuk mengalihkan pandangan rakyat dari isu ekonomi
yang lebih meruncing.
Apa semua ini? Lebih meloyakan, ketika pengerusi lembaga dan guru besar
sekolah tersebut memohon maaf secara terbuka, maka kita pun
beramai-ramai datang memberikan sokongan dan tepukan.
Sambil bersalaman dengan guru mualaf tersebut, guru besar itu berkata:
“Saya harap isu ini selesai dan dapatlah kita semua hidup dalam harmoni,
sesuai dengan slogan 1Malaysia”. Kita pun tutup fail. Wah… senang
sungguh.
Mudah sangat hidup di Malaysia. Bila bukan Islam buat salah, minta
maaf, selesai, atas alasan 1Malaysia. Bila kita buat silap, maka
dikatakan bertentangan dengan 1Malaysia. Maka kita terus salah, mereka
terus betul.
Apakah kita sudah lupa isu pengetua SMK Tunku Abdul Rahman, Kulaijaya
yang didakwa mengeluarkan ‘ucapan rasis’ pada tahun 2010? Seluruh media
ultra kiasu menghentam habis-habisan pengetua tersebut. Langsung tidak
diberikan peluang untuk membela diri. Desakan demi desakan dilakukan
agar beliau dipecat dan ditukar.
Julai dan Ogos 2013, pengetua SMK Alam Megah, Shah Alam, turut menerima
nasib sama kerana dikatakan memberi ucapan rasis. September 2013, guru
penolong kanan SMK Engku Husin Semenyih, Kajang, pun turut menjadi
mangsa.
Pada Julai 2013 apabila gambar murid bukan Islam SK Sri Pristana “makan
di tandas” semasa bulan Ramadan tersebar, sekali lagi seluruh media
ultra kiasu dikerah untuk melondehkan isu tersebut sehingga habis FB
guru besar turut digodam.
Pelbagai tuduhan dibuat tanpa langsung memberi peluang kepada beliau
membela diri. Beliau dan keluarga dimalukan, dihina dan dikecam sehingga
anak beliau sendiri merayu dan menulis di status FB jangan diganggu
ayah beliau lagi.
Namun, dalam isu guru mualaf dan SJKC ini, semua media ultra kiasu
senyap sepi. Kenapa tidak sensasikan isu ini dan memaksa guru besarnya
dipindahkan atau meletakkan jawatan? Jawapannya mudah, mereka sekapal.
Saya yakin, penghinaan ke atas guru mualaf tersebut, dan artis
bertudung, sengaja dilakukan. Peliknya, guru mualaf tersebut yang
ditukarkan ke sekolah lain, bukan guru besar itu.
Lebih menjengkelkan lagi, ketika isu ini dibangkitkan, kita diminta
sabar, siasat dahulu, jangan bertindak terburu-buru, perlu berhikmah dan
bermacam-macam alasan. Inilah sifat orang Melayu, terlalu bertolak
ansur, sehingga ditolak beransur-ansur.
Benar, memaafkan seseorang itu satu sifat yang baik. Tetapi itu bukan bermakna, pesalah boleh terlepas begitu sahaja.
Masih ingatkah kita pada zaman Nabi, apabila seorang Muslimah
dipermainkan oleh Yahudi sehingga terselak kain dan menampakkan
auratnya? Apa tindakan selepas itu? Jawapannya, perang.
Hari ini kita tidaklah sampai ke peringkat perang. Tetapi menjadi
tanggungjawab seorang pemimpin negara untuk memastikan bahawa tidak ada
mana-mana rakyat Islam di bawah pemerintahannya dianiaya oleh
musuh-musuh Islam.
Ingatlah! maruah dan keadaan umat Islam semakin tercabar. Malangnya,
tiada pemimpin yang berani bangkit dan dengan tegas bersuara
mempertahankan maruah umat Islam yang tercalar. Lebih menyedihkan,
penghinaan itu berlaku di bumi kita sendiri yang berasaskan Melayu dan
Islam.