ULASAN: Pemberian tayar kepada pemandu teksi.
Menurut laman web Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, “program bantuan
Teksi Rakyat 1 Malaysia (TR1Ma) lahir daripada cetusan buah fikiran
Najib Razak, Perdana Menteri atas keperihatinan beliau mengenai masalah
yang dihadapi pemandu teksi. Perdana Menteri faham akan keluhan pemandu
teksi yang menghadapi kos penyelenggaraan yang kian meningkat”.
Melalui program ini, pemandu teksi akan menerima dua keping baucar
TR1Ma bernilai RM260 setiap satu. Maka, jumlahnya menjadi RM520 untuk
membeli empat biji tayar.
Penulis kurang periksa sama ada ini
program tahunan atau hanya sekali seumur hidup, one-off. Tak mengapa,
kita selesai dahulu di sini.
Bagi kes 2 pula melibatkan kad
diskaun siswa yang dilancarkan baru-baru ini bagi pelajar IPT sepenuh
masa seluruh negara yang mengikuti pengajian jangka panjang (sijil,
diploma, ijazah dan ke atas).
Menurut laman web Kementerian
Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) kad ini
bertujuan membantu mengurangkan kos sara hidup pelajar IPT awam dan
swasta seluruh negara. Melalui kad ini, pelajar IPT akan mendapat
diskaun barangan terpilih daripada buku hinggalah aksesori kenderaan dan
juga kecantikan. Tidak sebagaimana TR1Ma, tidak jelas sama ada program
ini adalah cetusan idea Perdana Menteri.
Lalu, apakah masalahnya?
Apa
hubungan antara empat biji tayar teksi itu dengan kad diskaun siswa?
Bukankah program ini maha baik lagi bijaksana dan menyerlahkan
keprihatinan pemerintah 1Malaysia bagi membantu dan meringankan beban
rakyat? Bagi, yang bertanyakan soalan ini, sila baca kembali ayat
pertama tulisan ini sebelum kembali melanjutkan bacaan.
Kedua-dua
program ini pada zahirnya baik, kerana memberikan seorang pemandu teksi
tayar, dan memberikan diskaun dari buku tulis hingga sabun buku kepada
pelajar IPT. Namun, kedua-duanya gagal untuk menyentuh isu sebenar – dan
timbul curiga, takut-takut, ini memang disengajakan!
Bagi kes
pemandu teksi, yang mereka tuntut selama ini adalah permit teksi, kerana
selama ini permit teksi ‘dianugerahkan’ kepada sebilangan individu yang
kemudiannya menyewakan permit ini kepada pemandu.
Maka, setiap
hari, pemandu teksi harus membayar sewa purata RM50 sehari, 6hari
seminggu kepada syarikat pemilik permit. Ertinya, bagi setiap teksi,
syarikat akan mendapat RM4800 sebulan, dan setelah ditolak dengan
pinjaman bank untuk membeli teksi, mungkin ‘bodoh-bodoh’, untung
bersihnya sekitar RM4000 bagi setiap biji teksi dan bayangkan berapa
ratus permit yang setiap syarikat ada!
Tambahan pula, kebanyakan
syarikat, tidak bertanggungjawab terhadap penyelenggaraan teksi, dan ini
harus ditanggung oleh pemandu sendiri. Memang diakui, setiap pemandu
layak untuk memohon permit individu, namun tidak mudah untuk
mendapatkannya dan soalan yang lebih penting, mengapa permit teksi tidak
diberikan terus kepada pemandu dan mengapa pula harus dilonggokkan
kepada individu tertentu yang mungkin seumur hidupnya tidak pernah
memandu teksi?
Lalu, setelah sekian lama membuat untung jutaan
ringgit, setiap pemandu teksi atas ‘keprihatinan Perdana Menteri’,
disedekahkan dengan empat biji tayar yang berharga RM520 (dan jika kos
tayar melebihi nilai tersebut, baki bayaran ditanggung oleh pemandu).
Inikah maknanya ‘Janji ditepati’?.
Demikian juga halnya dengan
kad diskaun siswa ini yang turut mengalihkan siswa daripada tuntutan
sebenar. Sejak sekian lamanya, (maha)siswa menuntut agar dipulangkan
kembali autonomi universiti dan penstrukturan kembali pembiayaan
pengajian tinggi yang membebankan (maha)siswa.
Lalu, pasti akan ada
suara siswa belia dengan songkok tinggi dan rajin pula membimbit beg
menteri akan menempelak, “jadi, janganlah ambik baucar buku, jangan
ambik kad diskaun, turunlah ke jalan raya, demo hari-hari”. Nah,
demikianlah, yang penulis maksudkan, pada akhirnya kita dilarikan dari
isu sebenar dan perlahan-lahan dibahalulkan.
Tambah celakanya,
program-program sebegini bukan sahaja mengalihkan ramai warga daripada
isu yang lebih pokok, dan menciptakan ilusi baru, malah membentuk
kebergantungan (dependency) dan mana-mana pemerintah yang baik, tidak
akan membentuk kebergantungan warga kepadanya kerana itu bukan tugas
negara.
Tugas negara adalah menyediakan seluas-luas ruang dan
peluang kepada setiap anggota warganya untuk meningkatkan potensi diri
masing-masing.
Oleh yang demikian, jika kita tidak berhati-hati dan
kurang cermat, pasti kita akan mudah diperdaya ,dan dibahalulkan
sehingga kita percaya kini masa untuk balas budi.
Editor : Khaulah Azwar