PETALING JAYA 7 SEPT: Presiden PKR, Datuk Seri Dr
Wan Azizah Wan Ismail memperkenalkan
trailer Jelajah Merdeka Rakyat di perkaran Ibu Pejabat PKR hari ini.
Katanya, PKR memperkenalkan trailer Jelajah
Merdeka Rakyat yang akan digunakan sebagai pentas utama dalam siri bertemu
rakyat di seluruh negara.
Trailer yang dilengkapi pentas utama dan sistem
audio akan memulakan perjalanan ke Negeri Sembilan, Melaka dan Johor untuk
jelajah hujung minggu ini.
Difahamkan trailer ini merupakan sumbangan
peribadi individu yang menyokong siri jelajah yang dibuat PKR selepas perasmian
bas dua tingkat Jelajah Merdeka Rakyat yang disumbangkan oleh Menteri Besar,
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bulan lalu.
Dr. Wan Azizah dalam ucapan ringkas berkata
inisiatif yang diperkenalkan PKR merupakan satu perkembangan politik yang baik
dan tidak menjadi masalah sekiranya idea ini ingin digunakan pihak lain.
PKR dan Pakatan Rakyat begitu komited untuk
mengajak rakyat membawa perubahan bersama kepada Malaysia tercinta dan
menyelami erti merdeka yang sebenar, ujar beliau.
“Kita buat bukan untuk popular atau pangkat. Kami
mahu bersama rakyat membuat perubahan untuk Malaysia.
“Jika pihak Umno-BN boleh buat lebih baik, buatlah. Biarlah
berlaku persaingan yang sihat dimana kita boleh buat dan sesuatu yang lebih
baik,” katanya.
Sebelum ini, Bas Jelajah Merdeka Rakyat telah menjelajah ke Kelantan, Kedah dan Utara
Perak dengan berhadapan serangan ‘samseng’ di Kota Bharu dengan terjadi insiden cermin hadapan pemandu pecah
selain kesan simbahan cat merah, namun kerosakkan tersebut dibaiki, kata Dr Wan
Azizah dalam Majlis Perasmian tersebut.
Editor : Khaulah Azwar